tokyo tower full

13

Feb
2018

TOKYO TOWER

Posted By : Firdaus Khalid/ 220 0

TOKYO TOWER

tokyo tower full

Berketinggian 333 meter dan terletak di tengah-tengah bandar Tokyo, Tokyo Tower merupakan menara keluli tertinggi di dunia (world’s tallest, self-supported steel tower). Dibina berdasarkan model Eiffel Tower di Perancis,Tokyo Tower adalah 13 meter lebih tinggi daripada model asalnya. Dibina sebagai simbol kelahiran semula Jepun sebagai kuasa ekonomi utama selepas perang, menara ini merupakan bangunan tertinggi di Jepun dari tahun 1958 sehingga 2012 sebelum tempatnya diambil oleh Tokyo Skytree. Di samping menjadi tempat tumpuan pelancong yang sangat popular, Tokyo Tower juga pernah berfungsi sebagai menara penyiaran televisyen yang mana fungsi ini juga telah diambil-alih oleh Tokyo Skytree.

DEK UTAMA

tokyo tower lantai kaca

Tokyo Tower mempunyai 2 dek iaitu dek utama yang terletak pada ketinggian 150 meter dan dek atas yang terletak pada ketinggian 250 meter. Dek utama yang terletak pada ketinggian 150 meter boleh diakeses melalui lif atau tangga yang terdiri daripada 600 anak tangga. Walaupun berketinggian agak sederhana, Tokyo Tower yang terletak di pusat bandar Tokyo menawarkan pemandangan bandar yang sangat menarik. Terdapat juga beberapa panel kaca pada dek utama yang memboleh pengunjung berdiri dan melihat ke bawah secara terus dan juga kedai cenderamata dan kafe di mana pengunjung boleh membeli-belah dan menikmati minuman.

DEK ATAS

tokyo tower deck

Terdapat lif kedua pada dek utama yang menghubungkan dek utama dengan dek atas yang terletak pada ketinggian 250 meter. Dek ini merupakan dek pemerhatian ke-3 tertinggi di Tokyo selepas 2 dek di Tokyo Skytree. Jika cuaca dan jarak penglihatan semasa baik, pengunjung boleh melihat Tokyo Skytree dan juga Gunung Fuji daripada dek ini.

FOOT TOWN

tokyo tower one piece

Terletak betul-betul di bawah menara terdapat bangunan yang dikenali sebagai ‘Foot Town’ yang mana di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual cenderahati, kafe, restoren dan juga ‘One Piece Tower’ iaitu sebuah taman hiburan. Dibuka sempena ulang tahun ke-15 manga popular ini, taman hiburan ini menawarkan pelbagai pertunjukan, permainan dan tarikan lain yang menampilkan watak-watak dari siri manga ini.

AKSES

Untuk sampai ke Tokyo Tower, anda perlu berjalan kaki lebih kurang 5-10 minit dari stesen kereta api yang terdekat. Stesen kereta api yang terdekat adalah Stesen Kamiyacho di Hibiya Subway Line, Stesen Onarimon di Mita Subway Line dan Stesen Akabanebashi di Oedo Subway Line.

PERHATIAN!

Keseluruhan dek atas (250 meter) sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuian dan sedang ditutup. Dek atas ini dijadualkan dibuka semula pada 3 Mac 2018. Manakala dek utama (150 meter) pula, 1 daripada 4 sisi dek sedang ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan dijadualkan dibuka semula sekitar musim bunga 2019. Walaupun begitu 3 sisi di dek utama masih dibuka untuk pelawat.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

Leave your comment

Please enter comment.
Please enter your name.
Please enter your email address.
Please enter a valid email address.

6 + 3 =