TIPS KESIHATAN

Posted By : Firdaus Khalid/ 828 1

TIPS KESIHATAN DI JEPUN

 

ambulance japan

Kesihatan diri merupakan antara perkara yang amat penting dan harus dititikberatkan oleh bakal pelancong. Bagi yang merancang untuk melancong ke Jepun, kami di Trip Jepun sentiasa mengingatkan bakal pelancong supaya memastikan keadaan kesihatan dalam keadaan yang sangat baik sebelum dan semasa di Jepun.

Hal ini kerana sistem kesihatan di Jepun yang sedikit berbeza dengan Malaysia akan menyukarkan proses mendapatkan khidmat kesihatan di sana. Untuk pengetahuan, ambulans di Jepun tidak akan membawa pesakit ke hospital selagi mana tiada hospital bersedia menerima pesakit. Hospital berhak untuk tidak menerima pesakit atas beberapa sebab seperti ketidakmampuan memberi rawatan yang sesuai, tiada kekosongan tempat atau masalah komunikasi.

Faktor komunikasi ketika mendapatkan rawatan menjadi cabaran mendapatkan rawatan di Jepun. Tidak banyak hospital atau pusat kesihatan yang mempunyai pegawai bertugas yang boleh berbahasa Inggeris. Malah ada sesetengah pusat rawatan menolak untuk member rawatan kepada pelancong asing atas faktor bahasa selain ketidak mampuan untuk membayar kos rawatan. Kehadiran pemandu pelancong yang boleh berbahasa Jepun mungkin dapat membantu walaupun itu bukanlah satu jaminan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Selain itu, kos rawatan di hospital sangat mahal dan kebiasaanya di luar kemampuan pelancong. Keadaan ini jarang berlaku bagi penduduk Jepun kerana mereka diwajibkan menyertai skim insuran khas bagi penduduk Jepun. Bagi rakyat Jepun, mereka tidak perlu membayar 100% kos perubatan kerana setiap penduduk diwajibkan membayar insuran perubatan yang mana mereka hanya perlu membayar sebahagian sahaja kos perubatan. Pernah terjadi kepada pelancong Malaysia yang terpaksa membayar lebih RM300ribu kerana mendapatkan rawatan di Jepun.

Jika anda memilih untuk membeli ubat di farmasi-farmasi di Jepun, sistem pembelian ubat di Jepun tidak sama seperti di Malaysia. Anda tidak boleh terus ke farmasi untuk membeli ubat. Sebaliknya anda perlu ke klinik terlebih dahulu untuk mendapatkan preskripsi daripada Doktor. Doktor di klinik hanya memberikan konsultasi manakala pemberian ubat dilakukan oleh pihak farmasi. Malah harga ubat di farmasi Jepun juga lebih mahal berbanding harga ubat di Malaysia.

Artikel kali ini kami kongsikan beberapa perkara berkaitan kesihatan yang boleh menjadi panduan kepada anda sebelum ke Jepun.

TRAVEL INSURANCE

 

Travel insurance

Travel insurance atau insuran kembara merupakan antara perkara yang paling kami titikberatkan di Trip Jepun. Kami sangat-sangat menyarankan bakal pelancong untuk melanggan travel insurance sebelum ke Jepun.

Terdapat banyak syarikat yang menawarkan travel insurance di pasaran dengan pelbagai pelan dan pakej. Kami amat mencadangkan anda memilih travel insurance yang memberi perlindungan/coverage yang tinggi terutamanya yang melibatkan kemalangan dan juga kos rawatan kesihatan. Selain itu, lihat juga perlindungan seperti evakuasi kecemasa, kelewatan penerbangan, kehilangan harta benda dan sebagainya.

Selain itu, kami menggalakkan anda mendapatkan travel insurance yang dibayar terus oleh pihak insuran berbanding insuran ‘pay and claim’. Lebih mudah kerana anda tidak perlu mengeluarkan wang sendiri terlebih dahulu di samping terdapat kemungkinan claim anda ditolak oleh pihak insuran setibanya di Malaysia.

Terdapat banyak laman web yang menyediakan perkhidmatan membandingkan travel insurance seperti GOBEAR.com. Website-website seperti ini membantu anda membuat pilihan terbaik bagi travel insurance anda.

Mungkin anda terpaksa membelanjakan sedikit wang bagi melanggan travel insurance tetapi dengan adanya travel insurance, anda dapat melancong dengan hati yang lebih tenang kerana percutian anda dilindungi sekiranya berlaku bencana yang tidak diingini. Bagi muslim, kami menyarankan anda memilih insuran kembara yang berbentuk takaful berbanding insuran berbentuk konvensional kerana takaful kembara menepati syariah Islam berbanding yang konvensional.

UBAT-UBATAN

 

Bagi mereka yang mempunyai penyakit atau alahan tertentu yang memerlukan ubat-ubatan, kami sarankan agar anda membawa bersama ubat-ubatan tersebut dalam kuantiti yang mencukupi.Hal ini kerana kos konsultasi dan ubat sangat tinggi di Jepun jika anda tidak mempunyai insuran kesihatan di sana. Malah ada kemungkinan ubat yang dibekalkan di Jepun kurang serasi dengan anda.

Kami galakkan anda mendapatkan surat bertulis menyatakan pil-pil yang anda bawa merupakan ubat peribadi. Ini bagi mengelakkan anda ditahan lebih lama akibat disyaki membawa dadah terlarang.

Pastikan bekalan ubat anda mencukupi sepanjang berada di Jepun dan bagi mereka yang mempunyai penyakit berisiko tinggi  terutamanya golongan yang berusia, kami menggalakkan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk ke Jepun.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit lelah atau asma, kami amat menggalakkan anda membawa ‘inhaler’ lebih daripada 1 unit semasa melancong ke Jepun terutamanya pada musim bunga, luruh dan sejuk.

PERUBAHAN MUSIM

Suka kami ingatkan bahawa bagi negara 4 musim terutama Jepun, terdapat beberapa isu kesihatan yang perlu diambil berat bagi setiap musim. Hal ini kerana setiap musim mempunyai risiko kesihatan sendiri yang mana mungkin berbeza bagi setiap orang.

Musim Bunga: Alahan kepada debunga merupakan alahan yang biasa berlaku di Jepun pada musim bunga. Alahan ini akan menyebabkan selesema, bersin dan kegatalan pada mata. Bagi sesetengah orang, alahan ini dapat diatasi dengan hanya memakan ubat alergi. Bagi yang alergik kepada debunga, kami sarankan anda bersedia dengan ubat alahan dan penutup mulut sepanjang di Jepun.

Musim Panas: Strok haba merupakan antara masalah kesihatan yang sering berlaku pada musim panas. Pernah berlaku kematian akibat strok haba di Jepun. Jika anda merancang untuk melancong pada musim panas, kami galakkan anda mengurangkan aktiviti di luar ketika cuaca panas dan menggunakan topi atau payung ketika berada di luar. Banyakkan meminum air untuk memastikan badan anda sentiasa terhidrat.

Musim Luruh & Sejuk: Antara isu kesihatan yang sering timbul pada musim luruh dan sejuk ialah demam. Pastikan anda membawa ubat selesema dan demam dari Malaysia sebagai persediaan dan pastikan anda memakai pakaian yang sesuai apabila berada di luar. Pastikan badan sentiasa terhidrat dengan air kerana demam sering berlaku apabila badan anda kekurangan air.

IBU MENGANDUNG

ibu mengandung

Bagi ibu yang sedang mengandung walaupun masih di peringkat awal kandungan, kami di Trip Jepun amat tidak menggalakkan para ibu yang sedang mengandung melancong ke Jepun. Hal ini kerana ibu mengandung terdedah kepada pelbagai risiko yang  boleh membahayakan ibu dan juga bayi dalam kandungan.

Jarak perjalanan daripada Malaysia yang mengambil masa sekurang-kurangnya 6 jam sudah semestinya meletihkan bagi ibu di samping proses imigresen dan kastam  yang agak mengambil masa. Ini tidak lagi termasuk masa dan tenaga untuk anda bergerak dari lapangan terbang ke tempat penginapan. Jika dikira, proses perjalanan bermula dari Malaysia ke Jepun mengambil masa hampir separuh hari. Ini sudah pastinya memberi beban kepada ibu dan kandungan.

Paling utama, travel insurance tidak melindungi sebarang komplikasi kehamilan ketika berada di luar negara. Hal ini kerana komplikasi kehamilan bukanlah tergolong dalam kategori kemalangan atau masalah kesihatan. Pernah berlaku kepada rakyat Malaysia yang melahirkan anak pramatang di Jepun yang mana kos keseluruhan mencecah lebih RM300 ribu ringgit. Lebih menyukarkan keadaan, ibu terpaksa meninggalkan bayi pramatang sendirian di hospital sementara pulang ke Malaysia atas sebab-sebab tertentu seperti kos dan faktor kesihatan. Kejadian-kejadian seperti ini seharusnya menjadi panduan kepada kita kerana malang itu tidak berbau.

Kami di Trip Jepun amat menggalakkan wanita yang telah berkahwin supaya merancang terlebih dahulu sebelum ke Jepun. Jika anda sedang mengandung, kami amat menyarankan anda menangguhkan dahulu percutian anda sehingga anda selamat melahirkan anak dan keadaan anda sihat sepenuhnya. Malah bagi ibu yang merancang untuk mendapatkan anak, percutian ke Jepun boleh dijadikan bulan madu istimewa untuk anda.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM