Tokyo Imperial Palace

TOKYO IMPERIAL PALACE

Posted By : Firdaus Khalid/ 1419 0

TOKYO IMPERIAL PALACE

Tokyo Imperial Palace

Imperial Palace ataupun Kōkyo (皇居) di dalam bahasa Jepun merupakan kediaman rasmi keluarga diraja Jepun. Imperial Palace ataupun Istana Maharaja ini terletak di bekas tapak Istana Edo yang terdiri daripada taman yang besar dan dikelilingi oleh parit dan dinding-dinding batu yang besar sebagai tembok penghalang. Terletak di tengah-tengah bandar Tokyo, anda boleh sampai ke Imperial Palace ini dengan hanya berjalan kaki dari Stesen Tokyo.

Istana Edo pernah menjadi pusat pemerintahan Shogun Tokugawa yang memerintah Jepun dari tahun 1603 sehingga 1867. Pada tahun 1868, shogun digulingkan dan ibu kota negara dan kediaman maharaja dipindahkan dari Kyoto ke Tokyo. Pada tahun 1888, pembinaan Imperial Palace yang baru siap dibina. Istana ini pernah musnah akibat Perang Dunia Kedua tetapi dibina semula dalam bentuk yang sama selepas itu.

Dari Kokyo Gaien (Taman Luar Diraja) iaitu sebuah plaza besar di depan Imperial Palace, pengunjung dapat melihat Nijubashi iaitu 2 jambatan yang menghubungkan kawasan luar dengan bahagia dalam istana. Jambatan batu di bahagian depan dipanggil Meganebashi (Jambatan Cermin mata) kerana berbentuk seperti cermin mata. Jambatan kedua di bahagian belakang pula dahulu merupakan jambatan kayu 2 tingkat, yang mana merupakan asal kepada nama Nijubashi (2 Jambatan).

Guard tower Imperial Palace

Kawasan dalam istana biasanya tidak dibuka kepada orang awam dan orang awam hanya boleh melawat sehingga Kokyo Gaien sahaja. Hanya tetapi pada 2 Januari (Salam Tahun Baru) dan 23 Disember (Hari Lahir Maharaja) sahaja pelawat dibenarkan masuk ke bahagian dalam istana untuk melihat ahli keluarga diraja yang biasanya membuat penampilan awam dari balkoni istana.

Bersebelahan dengan kawasan dalaman istana adalah Imperial Palace East Gardens yang dibuka untuk orang awam sepanjang tahun. Di taman ini terdapat ‘Japanese Garden’ dan juga tapak asal bekas menara istana yang boleh anda lawati.

AKSES

Untuk sampai ke Tokyo Imperial Palace, anda boleh turun di Stesen Nijubashimae  yang terletak di laluan Chiyoda Subway Line, Stesen Sakuradamon yang terletak di laluan Yurakucho Subway Line dan juga Stesen Otemachi yang terletak di laluan Mita Subway Line, Chiyoda Subway Line, Tozai Subway Line, Marunouchi Subway Line dan Hanzomon Subway Line.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM