Senbon torii fushimi inari

FUSHIMI INARI SHRINE

Posted By : Firdaus Khalid/ 975 0

FUSHIMI INARI SHRINE

fushimi inari senbon torii

Fushimi Inari Shrine (伏見稲荷大社, Fushimi Inari Taisha) adalah kuil Shinto yang penting di selatan Kyoto. Fushimi Inari terkenal dengan ribuan barisan pintu gerbang torii berwarna merah pekat (torii adalah sejenis pintu gerbang tradisional Jepun yang biasa dijumpai di pintu masuk kuil Shinto). Ribuan pintu gerbang ini disusun membentuk laluan sepanjang 233 meter yang membawa ke arah hutan Gunung Inari yang dianggap suci.

Fushimi inari adalah antara kuil yang terpenting di antara ribuan kuil yang didedikasikan untuk Inari, dewa beras Shinto. Rubah pula dianggap sebagai utusan Inari yang mana menyebabkan kewujudan banyak patung rubah di kawasan kuil. Fushimi Inari mempunyai asal usul yang panjang, membawa kepada perpindahan ibu negara ke Kyoto pada tahun 794.

romon gate

Walaupun sebab utama kebanyakan pelawat asing datang ke Kuil Fushimi Inari adalah untuk menjelajah laluan gunung yang menarik, terdapat juga tarikan utama di bangunan kuil. Di pintu masuk kuil terdapat pintu gerbang besar yang diberi nama Romon Gate. Romon Gate ini telah disumbangkan oleh pemerintah terkenal,Toyotomi Hideyoshi pada tahun 1589.

fushimi inari torii

Di bahagian belakang kawasan utama Fushimi Inari adalah pintu masuk ke laluan mendaki yang dipayungi oleh pintu gerbang torii. Terdapat 2 deretan pintu gerbang torii yang disusun selari yang dipanggil ‘Senbon Torii’ (Seribu Pintu Torii). Pintu torii di sepanjang laluan mendaki adalah sumbangan oleh individu atau syarikat yang mana  nama penderma serta tarikh dermaan ditulis di bahagian belakang setiap pintu torii. Kos untuk setiap pintu bermula pada harga 400,000 yen (RM14,800+-) untuk pintu torii yang bersaiz kecil dan meningkat kepada 1 juta yen (RM37,000+-) untuk pintu torii yang bersaiz lebih besar.

Senbon torii fushimi inari

Untuk mendaki hingga sampai ke puncak gunung mengambil masa lebih kurang 2 hingga ke 3 jam. Pengunjung bebas memilih untuk mendaki sejauh yang mereka mahu sebelum berpatah balik. Di sepanjang laluan pendakian terdapat banyak kuil-kuil kecil dengan susunan pintu torii yang disumbangkan oleh pengunjung yang mempunyai bajet sumbangan lebih kecil. Terdapat beberapa restoren di sepanjang laluan yang menyajikan hidangan tempatan seperti Sushi Inari, Kitsune Udon yang mana turut disertakan dengan aburaage (tofu goreng) yang dikatakan makanan kegemaran rubah.

Selepas lebih kurang 30 hingga 40 minit pendakian, pengunjung akan mendapati kepadatan pintu torii semakin berkurangan dan pengunjung akan tiba di persimpangan Yotsutsuji, iaitu separuh jarak ke puncak gunung. Di persimpangan Yotsutsuji ini, pengunjung boleh menikmati pemandangan indah bandar Kyoto. Kebanyakkan pengunjung hanya mendaki hingga ke persimpangan ini kerana laluan seterusnya tidak menawarkan banyak variasi pemandangan dan juga kepadatan pintu torii yang semakin berkurang.

AKSES

Untuk sampai ke Fushimi Inari Shrine, pengunjung boleh turun di Stesen JR Inari yang terletak di laluan JR Nara Line iaitu stesen ke 2 selepas Stesen Kyoto. Jika anda menggunakan Keihan Main Line, anda juga boleh sampai ke Fushimi Inari Shrine dengan turun di Stesen Fushimi Inari. Kedua-dua stesen ini terletak berhampiran Fushimi Inari Shrine.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM