AKIHABARA

Posted By : Firdaus Khalid/ 1138 0

AKIHABARA-ELECTRIC TOWN

 

Akihabara atau juga biasa disebut dengan panggilan pendek, Akiba (sempena nama sebuah kuil) merupakan sebuah daerah di Tengah Tokyo yang popular dan terkenal dengan kemeriahan deretan-deretan kedai yang menjual barangan elektronik.

Akihabara telah diiktiraf sebagai pusat bagi budaya otaku (istilah yang digunakan kepada mereka yang obsess terhadap manga,anime dan permainan video), dan terdapat banyak kedai dan bangunan yang dikhususkan kepada anime dan manga tersebar di seluruh kawasan Akihabara. Boleh dikatakan Akihabara merupakan ‘syurga’ bagi peminat-peminat anime, manga dan permainan video di seluruh dunia.

Untuk yang bercadang untuk melawat Akihabara, kami di Trip Jepun amat menyarankan anda datang pada hari Ahad kerana  jalan utama yang merentasi kawasan Akihabara iaitu Chuo Dori akan ditutup kepada lalu lintas kereta bermula jam 1petang hingga 6 petang (5 petang fari Oktober hingga Mac). Penutupan lalu lintas kepada kenderaan ini membolehkan anda menghayati suasana meriah Akihabara yang sebenar.

BARANGAN ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK

akihabara shop

Di Akihabara, terdapat beratus-ratus kedai yang menjual barang elektrik dan elektronik bermula dari sekecil-kecil yang hanya boleh memuatkan seorang pekerja sehingga kepada sebesar-besar kedai yang mempunyai kompleks perniagaan mereka sendiri. Mereka menawarkan pelbagai barangan seperti komputer, kamera, televisyen, telefon bimbit sehingga kepada barangan elektronik terpakai. Malah, di Akihabara juga anda boleh mendapatkan pelbagai barangan menarik yang boleh di bawa pulang sebagai buah tangan kepada kenalan di Malaysia.

Bagi yang merancang untuk membeli-belah barangan elektrik dan elektronik di Akihabara, harus diingat bahawa voltan bagi negara Jepun dan Malaysia berbeza. Ini bermaksud barangan elektrik dan elektronik yang mempunyai spesifikasi voltan Jepun tidak boleh digunakan di Malaysia melainkan anda menggunakan transfomer untuk mengubah voltan.

Selain spesifikasi voltan, terdapat juga sesetengah barangan tidak mempunyai ‘international warranty’ selain isu teknikal dan juga bahasa. Tetapi jangan bimbang, terdapat kedai yang menjual barangan elektrik dan elektronik yang boleh digunakan di Malaysia selain kebanyakkan kedai juga menawarkan cukai GST percuma kepada pelancong asing.

 ANIME DAN MANGA

akihabara maid cafe

Bagi peminat setia anime dan manga, Akihabara merupakan tempat yang wajib anda lawati. Dikenali sebagai syurga otaku, terdapat  berpuluh-puluh kedai yang khusus kepada anime, manga, patung figura dan barangan koleksi yang boleh anda lawati.

Malah, dengan kehadiran ramai otaku, telah wujud pelbagai kedai yang menyediakan servis kepada golongan otaku seperti ‘maid café’. Di maid café, pelayan-pelayan akan berpakaian seperti ‘maid’ atau karektek-karekter dalam anime. Pelayan-pelayan ini akan melayan pelanggan dengan sangat mesra dan sopan yang mana memberikan pengalaman seperti di dalam anime.

Terdapat juga pusat internet atau dikenali sebagai ‘manga kissa’ yang mana pusat internet ini membolehkan pelanggan membaca komik dan menonton DVD selain mempunyai akses kepada internet.

AKSES

Untuk sampai ke Akihabara,anda boleh turun di Stesen Akihabara. Anda boleh sampai ke Stesen Akihabara menggunakan JR Yamanote Line, JR Keihin-Tohoku Line,JR Sobu Line, Hibiya Subway Line dan juga Tsukuba Express.

Manakala jika anda menggunakan Ginza Subway Line, anda boleh turun di Stesen Suehirocho yang terletak di utara Akihabara.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM