24

Jan
2018

PANDUAN SOLAT DI JEPUN

Posted By : Firdaus Khalid/ 1103 0

PANDUAN SOLAT DI JEPUN

 

Artikel kali ini kami akan berkongsi serba sedikit tentang panduan solat ketika berada di Jepun. Panduan-panduan ini adalah panduan yang kami sendiri gunakan ketika menentap di Jepun. Yang penting, tanggungjawab kita sebagai seorang muslim tertunai dan dapat melancong dengan tenang.

 

TEMPAT SOLAT

 

 

Jika di Malaysia, kita sudah terbiasa jika mahu solat, terus saja mencari surau atau masjid yang berdekatan. Tetapi di Jepun, bilangan masjid serta surau masih lagi kurang dan kebanyakkannya terhad di Bandar sahaja.

Oleh itu jika anda melancong di kawasan yang tiada masjid atau surau yang berdekatan atau anda kesuntukan masa, antara tempat-tempat yang anda boleh pertimbangkan untuk solat adalah seperti di kawasan taman yang lapang atau kawasan parking. Jika anda berada pasaraya, kawasan tangga boleh juga digunakan kerana tangga jarang digunakan.

Tetapi jika anda berseorangan, kami cadangkan anda menggunakan bilik persalinan pakaian. Ini bagi mengelakkan anda terganggu ketika solat berseorangan.

 

WUDHU

 

masjid-nabawi

 

Disebabkan Jepun merupakan sebuah negara yang mengamalkan tandas kering yakni tandasnya tiada paip air dan hanya menggunakan tisu, ramai yang sedikit gusar untuk berwudhu di tandas.

Usah risau kerana anda masih boleh berwudhu. Yang penting sentiasa sediakan botol kosong supaya anda boleh mengambil air di sinki dan berwudhu di dalam tandas.

Yang penting pastikan anda lap air yang terpercik atau tertumpah ketika berwudhu mengunakan tisu yang disediakan. Ini kerana menjadi pantang bagi orang Jepun jika tandas mereka basah. Tandas basah menggambarkan tandas yang kotor bagi orang Jepun.

Kami tidak sarankan anda berwudhu di sinki kerana ianya akan mengganggu orang lain yang ingin menggunakan sinki tersebut di samping akan mengakibatkan kawasan sinki basah teruk. Perbuatan menggangkat kaki ke dalam sinki untuk berwudhu patut dielakkan kerana ianya sangat memberi gambaran buruk kepada orang Jepun.

Jika anda berpeluang menggunakan khuf, itu adalah lebih baik.  Jika pada musim sejuk, khuf bukan sahaja mengelakkan kaki anda sejuk malah memudahkan proses berwudhu.

 

WAKTU SOLAT

Untuk yang pertama kali ke Jepun sudah pasti tertanya-tanya berkenaan waktu solat. Mungkin ada yang merasakan waktu solat di Jepun lebih kurang sahaja seperti di Malaysia.

Untuk pengetahuan, disebabkan Jepun merupakan  negara 4 musim yang mana waktu siang dan malamnya berubah mengikut musim, waktu solatnya juga begitu. Sebagai contoh waktu solat subuh pada musim panas adalah pada jam 2.45 pagi manakala pada musim sejuk adalah pada jam 6 pagi.

Ini kerana pada musim panas matahari keluar lebih awal dan waktu siangnya lebih panjang berbanding pada musim sejuk.

Antara cara paling mudah untuk menentukan waktu solat di Jepun adalah dengan memuat turun aplikasi yang terdapat di smarphone seperti Prayer Time atau Muslim Pro. Jika tidak, anda boleh juga google waktu solat contohnya Tokyo Prayer Time dan google akan paparkan waktu solat bagi kawasan Tokyo.

 

KIBLAT

 

mecca

 

Seperti juga waktu solat, kami cadangkan kepada anda untuk memuat turun aplikasi yang terdapat pada smartphone. Cara ini sangat mudah dan sangat membantu anda sebagai pelancong.

Terdapat banyak aplikasi percuma di luar sana yang menawarkan servis memeriksa arah kiblat. Pilihlah yang mempunyai rating yang tinggi dan mudah digunakan.

 

PAKAIAN

 

 

Untuk pelancong lelaki, pakaian untuk solat tidaklah menjadi satu isu. Tetapi untuk pelancong wanita, ada yang tertanya-tanya adakah perlu membawa telekung untuk solat sepeti di Malaysia.

Kami lebih sarankan kepada pelancong wanita untuk memakai pakaian yang boleh terus digunakan untuk solat. Bukan sahaja memudahkan untuk solat di mana-mana malah sudah pasti dapat menutup aurat secara sepenuhnya.

Akhir  sekali, yang terbaik adalah anda merancang perjalanan anda lengkap dengan bila dan di mana anda mahu solat. Ini bagi mengelakkan anda terkejar-kejar dan risau berkenaan solat anda.

Leave your comment

Please enter comment.
Please enter your name.
Please enter your email address.
Please enter a valid email address.

six − three =