08

Mar
2018

GST DI JEPUN

Posted By : Firdaus Khalid/ 1145 0

CARA JIMAT BAYARAN GST DI JEPUN

Jepun seperti juga Malaysia telah lama mengenakan GST (Goods and Services Tax) kepada rakyatnya. Bagi yang belum mengetahui, kadar GST yang dikenakan oleh kerajaan Jepun kepada rakyatnya adalah sebanyak 8% daripada jumlah harga barang yang dijual. Kadar GST ini bertambah daripada kadar asal sebanyak 5% bermula pada tahun 2014. Sebagai contoh, barangan yang berharga 100 yen perlu dibayar pada harga 108 yen kerana 8 yen merupakan cukai GST yang perlu dibayar kepada pihak kerajaan.

Berbanding sebelum pada tahun 2014, harga barang biasanya dipamerkan termasuk dengan cukai GST tetapi semenjak kenaikan daripada 5% kepada 8%, terdapat sesetengah kedai yang hanya mempamerkan harga barangan tidak termasuk dengan cukai GST. Dengan nilai matawang Jepun yang tinggi, jangan terkejut anda telah membayar banyak cukai GST kepada kerajaan Jepun sewaktu melancong di sana.

Cara Berjimat

Tahukah anda pelancong asing dikecualikan daripada membayar cukai GST? Akan tetapi terdapat syarat-syart yang perlu dipenuhi sebelum melayakkan anda sebagai pelancong asing untuk dikecualikan daripada membayar cukai GST.

Yang pertama adalah kedai yang anda sedang membeli-belah berdaftar sebagai kedai yang menawarkan barangan bebas cukai GST. Kebiasaanya kedai-kedai ini mempamerkan papan tanda ‘TAX FREE’ di hadapan kedai mereka. Jika mereka tidak berdaftar, anda tidak layak dikecualikan daripada membayar cukai GST.

Yang kedua adalah anda merupakan pelancong asing yang masuk dengan visa pelancong sementara dan anda perlu menunjukkan pasport anda sewaktu pembayaran. Pelajar asing, pekerja asing dengan visa pekerja dan juga rakyat Jepun tidak layak untuk menerima pengecualian cukai. Pasport anda akan dilekatkan dengan resit pembelian dan juga cop khas kedai sebagai tanda barangan anda telah dikecualikan daripada cukai.

Yang ketiga adalah jumlah barangan anda beli sebelum cukai GST melebihi 5000 yen. Jika kurang daripada itu, anda tidak layak dikecualikan daripada membayar cukai GST. Sebagai contoh, anda membeli cendera mata sebelum cukai sebanyak 4999 yen. oleh itu anda tidak layak dikecualikan daripada membayar cukai GST. Kami menyarankan anda merancang pembelian dan juga berkongsi belian dalam satu resit yang sama jika melancong beramai-ramai bagi melayakkan anda dikecualikan daripada membayar cukai GST. Hal ini kerana bagi setiap 5000 yen barangan yang anda beli dan dikecualikan daripada cukai GST, anda telah berjaya menjimatkan wang anda sebanyak 400 yen iaitu lebih kurang RM16!!!

Harus diingat bahawa biasanya barangan ‘consumable goods’ iaitu barangan yang anda guna dan pakai di Jepun tidak dikecualikan daripada cukai GST. Sebagai contoh, makanan dan minuman tidak dikecualikan daripada cukai GST kerana barangan tersebut dianggap digunakan oleh anda sepanjang di Jepun.

Selain itu, terdapat sesetangah kedai yang mengecualikan terus bayaran cukai GST sewaktu pembayaran dan terdapat juga kedai yang mewajibkan anda membayar terlebih dahulu cukai GST beserta harga barang kemudian menuntut kembali cukai GST yang telah anda bayar di kaunter khidmat pelanggan.

Ketika berangkat pulang di lapangan terbang, selepas anda melalui pintu pemeriksaan keselamatan, biasanya terdapat kaunter kastam Jepun. Di kaunter tersebut anda boleh menyerahkan pasport anda supaya pegawai bertugas boleh mengutip kembali resit yang telah dilekatkan di pasport anda.

Akhir sekali kami di Trip Jepun mengingatkan anda bahawa walaupun anda mungkin dikecualikan oleh cukai GST di Jepun, anda masih boleh dikenakan cukai barangan sewaktu sampai di Malaysia bergantung kepada kuantiti dan harga barangan yang anda bawa. Malah, berhati-hati juga jika anda membeli barangan elektrik kerana voltan dan spesifikasi yang berbeza mungkin menyukarkan anda mengguanakan barangan tersebut di Malaysia.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

Leave your comment

Please enter comment.
Please enter your name.
Please enter your email address.
Please enter a valid email address.

two × 5 =