Category: Tokyo

ameyoko-market

AMEYOKO STREET

Posted By : Firdaus Khalid/ 673 0

AMEYOKO STREET

ameyoko-market

Ameyoko Street (アメ横) adalah ‘market street’ yang sibuk dengan peniaga dan pengunjung yang terletak di antara Stesen Okachimachi dengan Stesen Ueno. Nama Ameyoko bersama daripada singkatan ‘Ameya Yokocho’ yang mana ameya bermaksud kedai gula-gula manakala yokocho pula  bermaksud lorong. Selain itu, ada juga yang mengatakan ‘Ame’ berasal daripada perkataan ‘America’ kerana pasar ini pernah menjadi tapak pasar gelap menjual banyak barang-barang buatan Amerika selepas beberapa tahun Perang Dunia Kedua berlaku.

Hari ini terdapat pelbagai barangan yang dijual di sepanjang Ameyoko Street. Antaranya pakaian,beg,kosmetik, ikan segar,makan kering dan makanan ringan. Waktu perniagaan berbeza mengikut setiap kedai tetapi kebiasannya kedai dibuka sekitar 10 pagi dan ditutup sekitar 8 malam dan ditutup pada hari Rabu tertentu.

Jika anda ke sana, jangan lupa untuk mendapatkan makanan halal yang dijual di sekitar Ameyoko Street.Terdapat peniaga muslim yang menjual makanan halal seperti kebab dan nasi berlaukkan daging kebab. Malah jangan terkejut jika anda sedang berjalan di Ameyoko Street, terdapat peniaga yang boleh bercakap Melayu. Jika anda merupakan seorang pembeli tegar, mungkin boleh cuba-cuba meminta diskaun atas barangan yang ingin anda beli walaupun meminta diskaun bukanlah suatu budaya yang biasa diamalkan di Jepun.

AKSES

Untuk sampai ke Ameyoko Street, anda boleh turun di Stesen Ueno atau Stesen Okachimachi yang menggunakan laluan JR Yamanote Linedan JR Keihin-Tohoku Line. Anda juga boleh turun di Stesen Ueno-Okachimachi yang menggunakan laluan Oedo Subway Line.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

ueno park

UENO PARK

Posted By : Firdaus Khalid/ 954 0

UENO PARK

ueno park

Ueno Park adalah sebuah taman awam besar yang terletak berhampiran dengan Stesen Ueno di tengah bandar Tokyo. Kawasan taman ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada Kuil Kaneiji yang mana suatu ketika dahulu kuil ini merupakan salah satu kuil terbesar dan terkaya di Jepun. Malah kuil ini pernah menjadi kuil keluarga bagi pemerintah Puak Tokugawa semasa era Edo. Kuil ini dianggap pelindung kepada bandar daripada sebarang kejahatan.

Semasa Perang Saudara Boshin dan disusuli dengan Pemulihan Meiji pada tahun 1868, Kuil Kaneiji mengalami kemusnahan teruk akibat pertempuran antara penyokong setia shogun yang telah kalah dengan pasukan kerajaan Meiji yang baru. Selepas peperangan, kawasan kuil ditukar menjadi taman gaya Barat yang pertama di Jepun dan dibuka pada orang ramai pada tahun 1873. Terdapat patung salah seorang jeneral di Pertempuran Ueno yang bernama Saigo Takamori yang terletak di pintu masuk selatan taman itu.

ueno park panda

Di sekitar Ueno Park terdapat banyak muzium terutamanya Tokyo National Museum, National Museum of Western Art,Tokyo Metropolitan Art Museum dan juga National Science Museum. Malah di Ueno Park juga terdapat Ueno Zoo yang mana merupakan zoo pertama di Jepun. Lebih menarik bayaran masuk bagi kanak-kanak adalah percuma dan terdapat haiwan menarik seperti beruang kutub dan juga panda.

Malah jika anda berkunjung pada musim bunga, Ueno Park merupakan salah satu destinasi popular bagi melihat kecantikan dan keindahan sakura. Di Ueno park terdapat lebih 1000 batang pokok sakura yang ditanam sepanjang laluan di dalam taman. Bunga-bunga sakura ini kebiasannya mekar pada akhir bulan Mac dan awal April. Pada waktu ini, Ueno Park terkenal dengan aktiviti ‘hanami’ di mana terdapat ramai pengunjung bersantai sambil makan-makan bersama keluarga dan rakan-rakan sambil melihat bunga sakura yang sedang kembang mekar.

Ueno-Park-Fall-LeavesSelain itu, jika anda melawat pada musim luruh, anda akan dihidangkan dengan pemandangan indah daun yang kekuningan serta keemasan. Oleh kerana terdapat banyak pokok sakura yang ditanam di Ueno Park, daun akan kekuningan pada masa yang sama menjadikan Ueno Park bertukar kepada warna kuning keemasan.

AKSES

Untuk sampai ke Ueno Park, anda boleh turun di Stesen Ueno dengan menggunakan laluan JR Yamanote Line, Ginza Subway Line, Hibiya Subway Line dan juga Keisei Ueno Line.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

Tokyo Imperial Palace

TOKYO IMPERIAL PALACE

Posted By : Firdaus Khalid/ 1419 0

TOKYO IMPERIAL PALACE

Tokyo Imperial Palace

Imperial Palace ataupun Kōkyo (皇居) di dalam bahasa Jepun merupakan kediaman rasmi keluarga diraja Jepun. Imperial Palace ataupun Istana Maharaja ini terletak di bekas tapak Istana Edo yang terdiri daripada taman yang besar dan dikelilingi oleh parit dan dinding-dinding batu yang besar sebagai tembok penghalang. Terletak di tengah-tengah bandar Tokyo, anda boleh sampai ke Imperial Palace ini dengan hanya berjalan kaki dari Stesen Tokyo.

Istana Edo pernah menjadi pusat pemerintahan Shogun Tokugawa yang memerintah Jepun dari tahun 1603 sehingga 1867. Pada tahun 1868, shogun digulingkan dan ibu kota negara dan kediaman maharaja dipindahkan dari Kyoto ke Tokyo. Pada tahun 1888, pembinaan Imperial Palace yang baru siap dibina. Istana ini pernah musnah akibat Perang Dunia Kedua tetapi dibina semula dalam bentuk yang sama selepas itu.

Dari Kokyo Gaien (Taman Luar Diraja) iaitu sebuah plaza besar di depan Imperial Palace, pengunjung dapat melihat Nijubashi iaitu 2 jambatan yang menghubungkan kawasan luar dengan bahagia dalam istana. Jambatan batu di bahagian depan dipanggil Meganebashi (Jambatan Cermin mata) kerana berbentuk seperti cermin mata. Jambatan kedua di bahagian belakang pula dahulu merupakan jambatan kayu 2 tingkat, yang mana merupakan asal kepada nama Nijubashi (2 Jambatan).

Guard tower Imperial Palace

Kawasan dalam istana biasanya tidak dibuka kepada orang awam dan orang awam hanya boleh melawat sehingga Kokyo Gaien sahaja. Hanya tetapi pada 2 Januari (Salam Tahun Baru) dan 23 Disember (Hari Lahir Maharaja) sahaja pelawat dibenarkan masuk ke bahagian dalam istana untuk melihat ahli keluarga diraja yang biasanya membuat penampilan awam dari balkoni istana.

Bersebelahan dengan kawasan dalaman istana adalah Imperial Palace East Gardens yang dibuka untuk orang awam sepanjang tahun. Di taman ini terdapat ‘Japanese Garden’ dan juga tapak asal bekas menara istana yang boleh anda lawati.

AKSES

Untuk sampai ke Tokyo Imperial Palace, anda boleh turun di Stesen Nijubashimae  yang terletak di laluan Chiyoda Subway Line, Stesen Sakuradamon yang terletak di laluan Yurakucho Subway Line dan juga Stesen Otemachi yang terletak di laluan Mita Subway Line, Chiyoda Subway Line, Tozai Subway Line, Marunouchi Subway Line dan Hanzomon Subway Line.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

tokyo skytree full

TOKYO SKYTREE

Posted By : Firdaus Khalid/ 553 0

TOKYO SKYTREE

tokyo skytree full

Tokyo Skytree merupakan antara mercu tanda terbaru bandar Tokyo dan juga Jepun. Berfungsi sebagai sebuah menara penyiaran televisyen digital, menara ini menggantikan menara televisyen lama iaitu Tokyo Tower yang menggunakan sistem analog. Terletak di bandar Sumida dan tidak jauh dari Asakusa, Tokyo Skytree merupakan bangunan tertinggi di Jepun pada ketika ini dengan ketinggian 634 meter dan kedua tertinggi di dunia ketika siap dibina. Bukan sahaja berfungsi sebagai menara penyiaran televisyen dan dek pemerhati, Tokyo Skytree juga mempunyai kompleks membeli-belah, restoren, muzium, planetarium dan juga akuarium besar.

Tarikan utama di Tokyo Skytree sudah pastinya 2 dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan luar biasa 360 darjah meliputi bandar Tokyo.Dek pertama terletak pada ketinggian 350 meter manakala dek kedua pula pada ketinggian 450 meter yang mana masing-masing menjadi dek pemerhatian tertinggi di Jepun

TEMBO DECK

tokyo skytree tembo deck

Tembo Deck merupakan dek yang lebih rendah dengan ketinggian 350 meter. Dek ini merangkumi 3 tingkat yang mana setiap tingkat mempunyai keistimewaan masing-masing. Tingkat teratas mempunyai tingkap yang luas dan menawarkan panorama 360 darjah yang terbaik untuk anda melihat bandar Tokyo di samping kemudahan menangkap gambar kenang-kenangan di Tokyo Skytree.

skytree glass panel

Manakala di tingkat tengah pula terdapat kedai yang menjual cenderahati khas Tokyo Skytree dan juga sebuah restoren iaitu Musashi Sky Restaurant yang menyajikan sajian fusion Perancis-Jepun. Sementara tingkat paling bawah pula mempunyai sebuah kafe dan beberapa panel kaca di atas lantai yang mana anda boleh memijak panel kaca tersebut dan melihat terus ke bawah menara.

TEMBO GALLERY

 

Untuk ke Tembo Gallery yang terletak pada ketinggian 450 meter, terdapat lif kedua yang harus anda naiki yang terletak di Tembo Deck. Digelar sebagai ‘the world’s highest skywalk’, Tembo Gallery terdiri daripada cerun berbentuk lingkaran yang mana ketinggiannya semakin bertambah apabila pengujung bergerak ke atas. Pembinaan tiub keluli dan kaca di sepanjang cerun membolehkan para pengunjung untuk melihat ke bawah dan juga ke seluruh Wilayah Kanto.

Di bahagan atas jalan lingkaran ini terdapat dek pemerhatian yang luas dengan kawasan untuk bersantai dan tingkap tinggi yang memaparkan keindahan Bandar Tokyo. Dek pemerhatian ini merupakan bahagian tertinggi bagi keseluruhan dek pemerhatian dengan ketinggian 451.2 meter.

Lawatan ke Tokyo Skytree bermula di tingkat 4 di mana tiket untuk dek pemerhatian pertama dijual. Perjalanan lif yang lancar membawa pengunjung ke tingkat teratas dek pemerhatian pertama di mana tiket untuk dek pemerhatian kedua boleh dibeli (Tiket ke Tembo Gallery hanya dijual di Tembo Deck). Pelawat kemudian boleh mengakses dek kedua sebelum turun kembali ke tingkat bawah pemerhatian pertama untuk turun ke pintu keluar di tingkat 5

AKSES

Untuk sampai ke Tokyo Skytree, anda boleh turun di Stesen Tokyo Skytree menggunakan laluan Tobu Isesaki Line. Anda juga boleh turun di Stesen Oshiage yang terletak di laluan Asakusa Subway Line, Hanzomon Subway Line dan juga Keisei Oshiage Line.

Pintu masuk ke Tokyo Skytree terletak di tingkat 4 di Tokyo Skytree Town. Tokyo Skytree Town ini meliputi kawasan antara Stesen Skytree Station dan juga Stesen Oshiage. Jika anda berada di Asakusa, anda boleh memilih untuk berjalan kaki dari Asakusa selama 20 minit melintas Sungai Sumida yang terkenal dengan kecantikan panoramanya.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

tokyo tower full

TOKYO TOWER

Posted By : Firdaus Khalid/ 475 0

TOKYO TOWER

tokyo tower full

Berketinggian 333 meter dan terletak di tengah-tengah bandar Tokyo, Tokyo Tower merupakan menara keluli tertinggi di dunia (world’s tallest, self-supported steel tower). Dibina berdasarkan model Eiffel Tower di Perancis,Tokyo Tower adalah 13 meter lebih tinggi daripada model asalnya. Dibina sebagai simbol kelahiran semula Jepun sebagai kuasa ekonomi utama selepas perang, menara ini merupakan bangunan tertinggi di Jepun dari tahun 1958 sehingga 2012 sebelum tempatnya diambil oleh Tokyo Skytree. Di samping menjadi tempat tumpuan pelancong yang sangat popular, Tokyo Tower juga pernah berfungsi sebagai menara penyiaran televisyen yang mana fungsi ini juga telah diambil-alih oleh Tokyo Skytree.

DEK UTAMA

tokyo tower lantai kaca

Tokyo Tower mempunyai 2 dek iaitu dek utama yang terletak pada ketinggian 150 meter dan dek atas yang terletak pada ketinggian 250 meter. Dek utama yang terletak pada ketinggian 150 meter boleh diakeses melalui lif atau tangga yang terdiri daripada 600 anak tangga. Walaupun berketinggian agak sederhana, Tokyo Tower yang terletak di pusat bandar Tokyo menawarkan pemandangan bandar yang sangat menarik. Terdapat juga beberapa panel kaca pada dek utama yang memboleh pengunjung berdiri dan melihat ke bawah secara terus dan juga kedai cenderamata dan kafe di mana pengunjung boleh membeli-belah dan menikmati minuman.

DEK ATAS

tokyo tower deck

Terdapat lif kedua pada dek utama yang menghubungkan dek utama dengan dek atas yang terletak pada ketinggian 250 meter. Dek ini merupakan dek pemerhatian ke-3 tertinggi di Tokyo selepas 2 dek di Tokyo Skytree. Jika cuaca dan jarak penglihatan semasa baik, pengunjung boleh melihat Tokyo Skytree dan juga Gunung Fuji daripada dek ini.

FOOT TOWN

tokyo tower one piece

Terletak betul-betul di bawah menara terdapat bangunan yang dikenali sebagai ‘Foot Town’ yang mana di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual cenderahati, kafe, restoren dan juga ‘One Piece Tower’ iaitu sebuah taman hiburan. Dibuka sempena ulang tahun ke-15 manga popular ini, taman hiburan ini menawarkan pelbagai pertunjukan, permainan dan tarikan lain yang menampilkan watak-watak dari siri manga ini.

AKSES

Untuk sampai ke Tokyo Tower, anda perlu berjalan kaki lebih kurang 5-10 minit dari stesen kereta api yang terdekat. Stesen kereta api yang terdekat adalah Stesen Kamiyacho di Hibiya Subway Line, Stesen Onarimon di Mita Subway Line dan Stesen Akabanebashi di Oedo Subway Line.

PERHATIAN!

Keseluruhan dek atas (250 meter) sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuian dan sedang ditutup. Dek atas ini dijadualkan dibuka semula pada 3 Mac 2018. Manakala dek utama (150 meter) pula, 1 daripada 4 sisi dek sedang ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan dijadualkan dibuka semula sekitar musim bunga 2019. Walaupun begitu 3 sisi di dek utama masih dibuka untuk pelawat.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

AKIHABARA

Posted By : Firdaus Khalid/ 1138 0

AKIHABARA-ELECTRIC TOWN

 

Akihabara atau juga biasa disebut dengan panggilan pendek, Akiba (sempena nama sebuah kuil) merupakan sebuah daerah di Tengah Tokyo yang popular dan terkenal dengan kemeriahan deretan-deretan kedai yang menjual barangan elektronik.

Akihabara telah diiktiraf sebagai pusat bagi budaya otaku (istilah yang digunakan kepada mereka yang obsess terhadap manga,anime dan permainan video), dan terdapat banyak kedai dan bangunan yang dikhususkan kepada anime dan manga tersebar di seluruh kawasan Akihabara. Boleh dikatakan Akihabara merupakan ‘syurga’ bagi peminat-peminat anime, manga dan permainan video di seluruh dunia.

Untuk yang bercadang untuk melawat Akihabara, kami di Trip Jepun amat menyarankan anda datang pada hari Ahad kerana  jalan utama yang merentasi kawasan Akihabara iaitu Chuo Dori akan ditutup kepada lalu lintas kereta bermula jam 1petang hingga 6 petang (5 petang fari Oktober hingga Mac). Penutupan lalu lintas kepada kenderaan ini membolehkan anda menghayati suasana meriah Akihabara yang sebenar.

BARANGAN ELEKTRIK DAN ELEKTRONIK

akihabara shop

Di Akihabara, terdapat beratus-ratus kedai yang menjual barang elektrik dan elektronik bermula dari sekecil-kecil yang hanya boleh memuatkan seorang pekerja sehingga kepada sebesar-besar kedai yang mempunyai kompleks perniagaan mereka sendiri. Mereka menawarkan pelbagai barangan seperti komputer, kamera, televisyen, telefon bimbit sehingga kepada barangan elektronik terpakai. Malah, di Akihabara juga anda boleh mendapatkan pelbagai barangan menarik yang boleh di bawa pulang sebagai buah tangan kepada kenalan di Malaysia.

Bagi yang merancang untuk membeli-belah barangan elektrik dan elektronik di Akihabara, harus diingat bahawa voltan bagi negara Jepun dan Malaysia berbeza. Ini bermaksud barangan elektrik dan elektronik yang mempunyai spesifikasi voltan Jepun tidak boleh digunakan di Malaysia melainkan anda menggunakan transfomer untuk mengubah voltan.

Selain spesifikasi voltan, terdapat juga sesetengah barangan tidak mempunyai ‘international warranty’ selain isu teknikal dan juga bahasa. Tetapi jangan bimbang, terdapat kedai yang menjual barangan elektrik dan elektronik yang boleh digunakan di Malaysia selain kebanyakkan kedai juga menawarkan cukai GST percuma kepada pelancong asing.

 ANIME DAN MANGA

akihabara maid cafe

Bagi peminat setia anime dan manga, Akihabara merupakan tempat yang wajib anda lawati. Dikenali sebagai syurga otaku, terdapat  berpuluh-puluh kedai yang khusus kepada anime, manga, patung figura dan barangan koleksi yang boleh anda lawati.

Malah, dengan kehadiran ramai otaku, telah wujud pelbagai kedai yang menyediakan servis kepada golongan otaku seperti ‘maid café’. Di maid café, pelayan-pelayan akan berpakaian seperti ‘maid’ atau karektek-karekter dalam anime. Pelayan-pelayan ini akan melayan pelanggan dengan sangat mesra dan sopan yang mana memberikan pengalaman seperti di dalam anime.

Terdapat juga pusat internet atau dikenali sebagai ‘manga kissa’ yang mana pusat internet ini membolehkan pelanggan membaca komik dan menonton DVD selain mempunyai akses kepada internet.

AKSES

Untuk sampai ke Akihabara,anda boleh turun di Stesen Akihabara. Anda boleh sampai ke Stesen Akihabara menggunakan JR Yamanote Line, JR Keihin-Tohoku Line,JR Sobu Line, Hibiya Subway Line dan juga Tsukuba Express.

Manakala jika anda menggunakan Ginza Subway Line, anda boleh turun di Stesen Suehirocho yang terletak di utara Akihabara.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM