Category: Osaka

UNIVERSAL STUDIOS JAPAN (USJ)

Posted By : Firdaus Khalid/ 2371 0

UNIVERSAL STUDIOS JAPAN (USJ)

 

Universal Studios Japan atau lebih dikenali dengan panggilan USJ adalah taman tema pertama di bawah jenama Universal Studios yang dibina di Asia.Dibuka secara rasmi pada tahun 2001 di Osaka Bay Area, taman tema ni meliputi kawasan seluas 39 hektar dan merupakan taman tema yang paling banyak dikunjungi di Jepun selepas Tokyo Disney Resort.

Universal Studios Japan mempunyai 8 bahagian iaitu Hollywood, New York, San Francisco, Jurassic Park, Waterworld, Amity Village, Universal Wonderland dan The Wizarding World of Harry Potter. Pengunjung boleh menikmati pelbagai tarikan di sini seperti roller coaster dan simulator berdasarkan filem-filem popular seperti Spiderman,Back to the Future, Jurassic Park dan lain-lain. Lebih menarik, terdapat banyak tarikan yang sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak hingga dewasa.

usj maskot

Selain daripada tarikan di atas, pengunjung juga berpeluang mengambil gambar bersama dengan maskot watak popular seperti Hello Kitty, Snoopy dan Minions. Terdapat juga pelbagai acara yang disediakan setiap hari seperti persembahan tarian dan juga perbarisan malam yang penuh dengan warna warni dan tarian.

hard rock cafe osaka

Bagi yang merancang untuk membeli-belah cenderahati di Universal Studios Japan, terdapat sebuah pusat membeli-belah di sebelah luar pintu Universal Studios Japan iaitu Universal Citywalk Osaka. Di sini terdapat hotel rasmi Universal Studios di samping restoren dan kedai yang menjual cenderahati khas Universal Studios Japan. Malah terdapat Osaka Takoyaki Museum yang mana merupakan deretan vendor terkenal menjual hidangan tempat di bawah 1 bumbung.

AKSES

Untuk sampai ke sini menggunakan kereta api, anda boleh turun di Stesen Universal City yang terletak di laluan JR Yumesaki Line kemudian berjalan kaki lebih kurang 5 minit untuk sampai ke pintu masuk Universal Studios Japan.

Jika anda tiba di Lapangan Terbang Kansai,terdapat juga perkhidmatan bas yang boleh membawa anda terus ke Universal Studios Japan. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 50-70 minit dan tiket bas berharga 1550 yen.

captain line osaka

Bagi yang inginkan sedikit kelainan, anda boleh menggunakan perkhidmatan feri yang diberi nama ‘Captain Line’. Feri ini menghubungkan Osaka Aquarium  dengan Universal Studios Japan. Perjalanan mengambil masa 10 minit dan tiket berharga 700 yen sehala dan 1300 yen untuk tiket pulang balik.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

OSAKA CASTLE

Posted By : Firdaus Khalid/ 821 0

OSAKA CASTLE

Osaka Castle atau dipanggil Ōsakajō (大阪城) mula dibina pada tahun 1583 pada tapak lama Ishiyama Honganji Temple yang mana telah dimusnahkan oleh Oda Nobunaga 13 tahun sebelumnya. Pemiliknya, Toyotomi Hideyoshi mahu menjadikan Osaka Castle sebagai pusat bagi Jepun yang baru di bawah pemerintahan Toyotomi. Pada masa itu, Osaka Castle merupakan istana yang terbesar di Jepun.

Bagaimanapun, beberapa tahun selepas kematian Hideyoshi, tentera Tokugawa menyerang dan memusnahkan istana dan menamatkan keturunan Toyotomi pada tahun 1615. Istana Osaka dibina semula oleh Tokugawa Hidetada pada tahun 1620-an, tetapi menara utamanya terbakar akibat disambar kilat pada tahun 1665.

Selepas kebakaran akibat kilat pada tahun 1665,hanya pada tahun 1931 menara istana ini kembali dibina dengan menggunakan konkrit. Semasa era perang, istana ini berjaya terselamat daripada serangan udara di bandaraya Osaka. Pada tahun 1997, kerja-kerja pembaikan major dilakukan kepada Osaka Castle seterusnya memberikan istana ini penampilan yang sangat menarik.

Hari ini, menara istana siap dilengkapi dengan lif yang memudahkan akses ke dalam menara. Istana ini menempatkan muzium yang menyimpan maklumat mengenai sejarah istana dan Toyotomi Hideyoshi. Bayaran masuk ke dalam istana adalah sebanyak 600 yen seorang.

osaka castle parit

 

Menara istana dikelilingi oleh parit besar, benteng pertahanan, pintu gerbang dan dinding batu yang mengagumkan. Terdapat sebuah taman yang merupakan bekas kubu ala barat yang menempatkan 600 batang pokok sakura serta pemandangan indah menara istana dari bawah. Taman Nishinomaru ini mengenakan sedikit bayaran masuk berbanding tempat-tempat lain di istana

 

Seluruh Osaka Castle Park merangkumi kira-kira dua kilometer persegi dengan banyak ruang hijau, kemudahan sukan, arena pelbagai guna (Osakajo Hall) dan kuil yang didedikasikan untuk Toyotomi Hideyoshi. Taman ini adalah salah satu tempat Hanami yang paling popular di musim bunga sakura, yang biasanya berlaku pada awal bulan April.

 Jika anda berpeluang ke Osaka, Osaka Castle adalah salah satu tempat yang wajib anda lawati terutamanya jika anda datang ketika musim bunga.

AKSES

Untuk sampai ke Osaka Castle, anda boleh turun di Stesen Tanimachi 4-chome yang terletak di laluan Tanimachi Subway Line dan juga Chuo Subway Line. Kemudian masuk melalui Otemon Gate yang terletak di barat daya taman.

Bagi yang menggunakan JR, stesen JR yang terdekat adalah Stesen Osakajokoen yang menggunakan laluan JR Loop Line, 10 minit dari Stesen JR Osaka.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

UMEDA SKY BUILDING

Posted By : Firdaus Khalid/ 552 0

UMEDA SKY BUILDING

Umeda Sky Building adalah merupakan sebuah bangunan tinggi yang mempunyai reka bentuk menarik di yang terletak di Daerah Kita, berhampiran dengan Stesen Umeda dan Stesen Osaka. Ia juga kini dikenali dengan nama ‘New Umeda City’

umeda sky building sky garden

Berketinggian 173 meter, bangunan ini terdiri daripada 2 menara yang dihubungkan dengan satu sama lain oleh ‘Floating Garden Observatory’ di tingkat yang ke-39. Di dek pemerhatian, anda boleh melihat pemandangan bandar yang menarik melalui tingkap dan dek yang terbuka.

Di bahagian bawah tanah bangunan, terdapat sebuah restoren yang mereplikasi sebuah bandar ketika Era Showa manakala di bahagian-bahagian lain bangunan kebanyakkannya dijadikan ruang pejabat.

Bayaran tiket masuk ke ‘Floating Garden Observatory’ adalah sebanyak 1000 yen seorang mana ianya dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

AKSES

Untuk sampai ke Umeda Sky Building, anda boleh turun sama ada di Stesen Osaka atau Stesen Umeda dan perlu berjalan kaki sejauh 10-15 minit dari stesen untuk ke Umeda Sky Building.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM