02

Mar
2018

5 TEMPAT REHAT JIKA TERLEPAS LAST TRAIN DI JEPUN

Posted By : Firdaus Khalid/ 818 0

5 TEMPAT REHAT JIKA TERLEPAS LAST TRAIN DI JEPUN

Bagi pelancong yang menggunakan pengangkutan awam terutamanya kereta api di Jepun, antara perkara yang paling dirisaukan adalah terlepas ‘last train’ untuk pulang ke tempat penginapan. Selain disebabkan kesalahan atau kecuaian sendiri yang menyebabkan terlepasnya last train, terdapat juga faktor-faktor lain yang diluar jangkaan seperti cuaca yang buruk (salji tebal, taufan), kemalangan jiwa di atas landasan kereta api (bunuh diri,terjatuh) dan juga kerosakan kereta api.

Walaupun Jepun adalah negara yang cukup selamat untuk anda berada di luar walaupun pada waktu selepas tengah malam, untuk menunggu di luar sehingga kereta api pertama mula beroperasi agak merisaukan. Selain itu, perkara yang paling dirisaukan adalah berkaitan suhu persekitaran dan cuaca. Jika tertinggal last train di musim panas mungkin tidak begitu menyeksakan kerana suhu pada waktu malam yang tidak terlalu sejuk untuk berada di luar di samping kebiasannya cuaca yang baik dan tidak hujan. Tetapi jika terlepas last train ketika musim bunga, musim luruh atau musim sejuk, suhu pada waktu malam yang amat sejuk memang amat menyeksakan. Keadaan menjadi lebih teruk jika cuaca buruk dan hujan turun sepanjang malam.

Jika mengambil teksi dan tinggal di hotel biasa bukanlah satu pilihan dek kerana kekangan bajet, kami di Trip Jepun akan berkongsi serba sedikit kepada anda tentang 5 tempat rehat yang boleh anda gunakan jika terlepas last train sementara menunggu train pertama mula beroperasi.

1. INTERNET CAFE / MANGA KISSA

Internet cafe ataupun biasanya dipanggil Manga Kissa kebiasannya banyak terdapat berhampiran stesen kereta api. Jika anda berseorangan atau berdua, internet cafe adalah satu pilihan yang baik untuk anda berehat sementara menunggu train pertama mula beroperasi. Dengan bayaran bermula dari 750 yen dan berubah bergantung kepada masa anda tinggal serta kemudahan yang disediakan, internet cafe adalah salah satu tempat yang agak selesa dan selamat sementara anda menanti waktu pagi tiba.

Paling menarik, antara kemudahan yang disediakan selain daripada komputer dan internet adalah minuman tanpa had, shower, tempat mengecas telefon, printer dan juga kemudahan pembayaran secara kad kredit. Malah ada sesetengah internet cafe mempunyai bilik berdua atau bilik keluarga selain kerusi yang disediakan agak selesa. Walaupun begitu, terdapat sesetengah internet cafe yang mewajibkan pengguna menjadi ahli terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyewa kemudahan yang ada dengan sedikit bayaran.

2. KARAOKE BOX

Jika anda terlepas train dalam kumpulan, kami di Trip Jepun lebih mencadangkan anda untuk berehat di Karaoke Box. Walaupun bunyinya agak janggal tetapi percayalah karaoke box adalah salah satu tempat yang terbaik untuk anda berehat. Dengan sofa empuk yang disediakan serta kemudahan lain seperti minuman tanpa had dan khidmat menempah makanan, karaoke box selesa untuk anda menanti first train pada waktu pagi.

Malah, jika anda tidak mahu berehat sementara menunggu pagi, anda juga boleh mengisi masa yang ada dengan berkaraoke bersama rakan-rakan bagi menghilangkan bosan di samping menghilangkan kesedihan terlepas last train. Jangan risau, walaupun karaoke box di Jepun tidak menyediakan pilihan lagu berbahasa Melayu, terdapat banyak pilihan lagu berbahasa Inggeris yang boleh anda nyanyikan.

3. FAMILY RESTAURANT

Bajet masih lagi terhad dan perut anda lapar sementara menanti pagi, kenapa tidak anda cuba berehat di Family Restaurant. Kebanyakkan family restaurant dibuka 24 jam dan banyak terdapat berhampiran stesen kereta api. Kami mencadangkan anda mengambil set minuman tanpa had sepanjang menunggu di family restaurant kerana set ini tidak mempunyai had masa dan kuantiti. Walaupun kemudahan yang disediakan hanyalah seperti tandas dan juga tempat merokok, family restaurant sudah cukup untuk memastikan anda selesa sementara menanti pagi. Terdapat banyak family restaurant di luar sana seperti Saizeriya dan juga Gusto yang boleh anda pilih.

4. CAPSULE HOTEL

Jika anda berseorangan dan merasakan perlunya rehat yang cukup dan sempurna, anda boleh juga menggunakan servis capsule hotel. Walaupun harganya sedikit mahal, sekurang-kurangnya anda kembali segar keesokkan harinya. Antara kemudahan yang disediakan adalah wifi percuma, televisyen mini serta tandas dan bilik mandi yang dikongsi bersama penyewa yang lain. Capsule Hotel biasanya hanya terdapat di stesen-stesen kereta api utama tidak seperti 3 tempat di atas.

5. AIRPORT

Jika anda baru tiba di lapangan terbang atau sempat berkejar ke lapangan terbang berhampiran, lapangan terbang adalah satu pilihan yang paling murah. Selain faktor keselamatan yang terjamin, terdapat juga kedai serbaneka yang dibuka 24jam. Malah sesetengah lapangan terbang menyediakan surau untuk anda solat dengan selesa. Paling penting pastikan lapangan terbang yang anda pilih beroperasi 24jam dan kebiasannya international airport beropersi 24 jam.

PENUTUP

Kami di Trip Jepun amat tidak menyarankan anda berehat di luar kawasan tertutup seperti gelandangan sementara menanti pagi. Selain faktor keselamatan dan kesihatan, terdapat juga kemungkinan pihak berkuasa menahan anda atas sebab-sebab tertentu. 5 tempat yang kami sarankan mungkin tidak seselesa tempat penginapan anda tetapi sekurang-kurangnya dapat memastikan anda kekal selamat dan terhindar daripada cuaca malam yang membahayakan kesihatan anda.

JOM KE JEPUN

PAKEJ TRIPJEPUN.COM

Leave your comment

Please enter comment.
Please enter your name.
Please enter your email address.
Please enter a valid email address.

11 + 4 =